Sejarah Mengkebang

bt_mengkebangBatu Mengkebang di terokai pada tahun 1960 di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Pada masa itu dengan nama RKT Batu Mengkebang. Daerah ini ditadbir oleh Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Kelantan ( LKTN ) yang beribu pejabat di Mengkebang Pusat ( dikatakan bandar pada masa itu ). LKTN sekarang dikenali sebagai Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR).

Pada masa itu seramai 625 orang peneroka dari pelbagai daerah di negeri Kelantan dipilih untuk menjadi generasi pertama sebagai peneroka di Batu Mengkebang oleh LKTN. Golongan ini di berikan tanah “ala Kelantan” iaitu tanah yang perlu diusahakan sendiri oleh penerokaa (guna parang, cangkul, sabit dan sebagainya untuk menebang dan menebas hutan bagi membuka kawasan tersebut).

Setiap peneroka di berikan tanah getah seluas 6 ekar, lot tanah seluas 0.250 hektar (1/4 ekar) dan tanah dusun seluas 2 ekar seorang. Dalam masa tersebut juga LKTN berperanan memberikan khidmat nasihat kepada peserta.

Persempadanan bagi Batu Mengkebang ialah bermula dari arah utara (Kg Bechah Salak) , selatan (Kg Sg Pas), bbahagian barat (Kg Temalir dan Blok C) dan dari timur (Kg Sg. Peria dan Kg Sg. Rek).

Selepas tahun 1978, Perbadanan Pembangunan Tanah dan Pemuliharaan Tanah Negeri Kelantan (TAKDIR) telah mengambil alih pengoperasian mentadbir Kg. Batu Mengkebang. Semasa TAKDIR mentadbir Kg. Batu Mengkebang banyak kemudahan dan infrastruktur disediakan dan diberi perhatian untuk kemudahan penduduk tempatan. Kemudahan-kemudahan tersebut seperti menyedia dan membina SK. Batu Mengkebang, Balai Raya, Pondok Polis,Padang Bola sepak, Tapak Perniagaan(Koperasi) dan Surau.

Walaupun banyak kemudahan asas disediakan, tetapi keadaan jalan raya amat mnyedihkan pada masa itu. Jalan raya yang digunakan pada masa ini adalah hanya jalan tanah merah atau laluan balak yang sentiasa berdebu serta berlumpur. Keadaan jalan akan lebih sukar/teruk sekiranya hari hujan. Jenis pengangkutan yang sesuai di gunakan pada ketika itu adalah jenis kenderaan pacuan empat roda seperti Land Rover dan Jeep.

Manakala lori balak digunakan untuk mengangkut keluar balak dari kawasan ini dan kawasan berhampiran. Lori-lori kecil pula digunakan untuk membawa keluar hasil-hasil penduduk untuk di pasarkan di pekan Guchil dan Bandar Kuala Krai. Antara hasil-hasil peneroka adalah seperti pisang, rotan, damar, ikan-ikan sungai dan ulam-ulaman.

Kadangkala penduduk terpaksa berjalan kaki selama dua hari untuk sampai ke pekan Guchil hanya untuk memasarkan hasil mereka bagi mendapatkan pendapatan. Ini kerana bilangan kenderaan yang keluar masuk ke Kg. Batu Mengkebang amat sedikit pada masa itu dan terhad.

Sebelum hasil getah dikecapi oleh peneroka ,mereka terpaksa menanam padi bukit (huma), kelapa dan pisang untuk menyara hidup keluarga. Pada masa sekarang, getah merupakan sumber pendapatan utama penduduk Kg. Batu Mengkebang.

Dibawah pentadbiran TAKDIR, kerajaan telah memperuntukkan sumbangan sebanyak RM3000.00 untuk setiap satu keluarga peneroka bagi tujuan membina rumah baharu dan mereka tidak perlu membayar balik sumbagan tersebut kepada kerajaan.

Menjelang tahun 1983, TAKDIR telah ditukar tadbir oleh KESEDAR. Bermula dengan pentadbiran baru inilah nama Kg. Batu Mengkebang ditukarkan kepada R.P.T Batu Mengkebang. KESEDAR telah berusaha untuk membangunkan R.P.T Batu Mengkebang dan semua pembangunan telah dijalankan secara pesat dan teratur sehingga sekarang.

Diantara kemudahan dan frasarana yang disediakan adalah seperti menyediakan Sekolah Menengah Kebangsaan Mengkebang, Sekolah Menengah Agama ,dewan serba guna, Taska, Pusat Sumber, Mini Info Desa (MID), Masjid, Gelanggang Futtsal, Taman Herba, kemudahan bekalan air dan pondok peti surat.

Di antara tokoh-tokoh tempatan yang telah menyumbang kepada pembangunan R.P.T Batu Mengkebang ialah :

Tokoh Kawasan/Jasa
 POK KOB (ketua) Ulu Kelantan
MUHD B. ABD RAHMAN(Mat Bedil)  Ulu Kelantan
HJ CHE SOH B. MAJID  Imam Tua
ABE HASSAN  Gertak Kangkong
RAMLI AWANG KECHIK  
ABDUL GHANI B. IBRAHIM  Imam

 

Pada tahun 1992 R.P.T Batu Mengkebang menerima peruntukan untuk membina jalan raya yang berturap dan jambatan bagi kemudahan penduduk setempat. Pembinaan jalan raya dan jambatan ini juga menjadi nadi utama penduduk untuk berhubung dengan kawasan sekitar dan dengan dunia luar seperti dapat berhubung dengan kampung Sg. Kangkong, kampung Sg Pas, kampung Gertak Kangkong, dan kampung Temalir.

Kemudahan dan kemajuan R.P.T Mengkebang sentiasa bertambah seiring dengan keperluan dan kehendak penduduknya sehingga ke hari ini.

Status: Parlimen : Kuala Krai
DUN : Mengkebang
Jajahan : Kuala Krai
Mukim : Kenor

Sumber  : Wan Malzelam bin Wan Mohamad
(Pengurus Pej. Operasi KESEDAR Mengkebang)